Sejarah Surau Al-Firdaus
Surau Al-Firdaus, Taman Bidara Fasa 3, Selayang adalah sebuah institusi yang berdaftar dengan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) - No. Ruj. JAI.SEL.BPM.01/035/49. Surau ini terletak di tepi Jalan Taman Bidara, iaitu jalan utama yang menghubungkan Bandar Baru Selayang, Selayang Heights, Aman Siara, IPD Gombak, Jalan Rawang, Hospital Selayang, Bukit Idaman, Selayang Mall, Selayang Utama, FRIM, Taman Intan Baiduri dan Kepong.
​
Pemilihan nama Surau Al-Firdaus ini telah dibuat atas persetujuan ahli qariah sejak awal tahun 90an dengan harapan surau ini menjadi tempat untuk mendekatkan diri kepada Allah oleh ahli qariah dan juga oleh mereka yang tinggal di kawasan berhampiran serta orang ramai yang melalui Jalan Taman Bidara untuk singgah menunaikan kewajipan mereka.
​
Surau ini pada asalnya adalah sebuah bangunan pejabat tapak pemaju Taman Bidara Selayang yang telah dibina sekitar tahun 1985 di atas tanah seluas kira-kira 1.1 hektar. ​ Bangunan ini ditinggalkan oleh syarikat pemaju perumahan dan telah diwakafkan untuk dijadikan surau. Manakala kawasan tanah tersebut pula telah diserahkan oleh pemaju kepada Majlis Agama Islam Selangor (MAIS) dan MAIS telah mewakafkan kepada penduduk Taman Bidara Fasa 3 untuk dijadikan tapak surau atau masjid.
​
​Sebelum ini, penduduk Taman Bidara Fasa 3, Selayang khususnya tiada surau atau tempat untuk aktiviti keagamaan. Namun bersyukur dengan adanya bangunan pejabat lama berkenaan atas kesudian pihak pemaju memberikan hak untuk dijadikan surau sementara walaupun keadaannya tidak berapa sesuai dan selesa. Surau sementara ini hanyalah sebuah bangunan kecil yang boleh menampung hanya kira-kira 20 ke 30 orang jemaah sahaja (muslimin + muslimah), itu pun melimpah sehingga ke luar ruang solat pada satu-satu masa.
Tahun demi tahun, sedikit demi sedikit, penduduk Taman Bidara Fasa 3 bersama-sama berkongsi tenaga, idea serta wang ringgit bagi membaikpulih, memaju dan mengimarahkan surau ini. Permintaan semasa bagi qariah dan jemaah di kawasan sekitarnya agak mendesak. Manakala keadaan bangunan semakin kurang selesa serta tidak mengizinkan lagi untuk mengadakan aktiviti keagamaan. Bangunannya semakin uzur dan saiznya sempit malah kedudukan bangunan ini juga tidak menepati arah kiblat (menyerong).
​
Sejak tahun 1994, pihak Jawatankuasa Surau telah merayu sumbangan daripada banyak pihak namun dana yang terkumpul masih jauh daripada mencukupi untuk membina sebuah bangunan surau baharu, walaupun segala perancangan dan pengumpulan dana disokong oleh ahli kariah dan jemaah yang singgah untuk menunaikan solat di sini.
Hari berganti minggu, minggu berganti bulan dan bulan berganti tahun, akhirnya di atas usaha AJK Surau Al-Firdaus, pada penghujung tahun 2013, surau ini berjaya mendapatkan sedikit bantuan daripada Pejabat Pembangunan Persekutuan (JPM) Negeri Selangor bagi mendirikan sebuah bangunan induk surau baharu. Dengan adanya dana tersebut, pihak surau telah dapat memulakan projek pembinaan. Alhamdulillah, sebaik sahaja projek pembinaan bermula, rezeki Surau Al-Firdaus melimpah ruah dengan memperolehi banyak lagi sumbangan yang diterima dari beberapa pihak korporat dan individu untuk projek pembinaan surau baharu.
​
Akhirnya pada pertengahan tahun 2014, kariah Taman Bidara Fasa 3 Selayang dan kawasan sekitar yang berhampiran dapat menyaksikan terdirinya sebuah bangunan surau baharu.
​
​
Beberapa foto Surau Al-Firdaus yang lama
Perhatikan arah kiblat yang menyerong.
Ini adalah ruang luar yang digunakan untuk jamuan dan ruang solat tambahan.